KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand, mengesahkan insiden kemalangan jalan raya melibatkan lima orang pelajar Malaysia di Lake Tekapo pada Sabtu.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan memaklumkan, dalam kejadian pada pukul 1.45 tengah hari waktu tempatan, dua daripadanya maut di lokasi kejadian, manakala tiga orang lagi diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands, New Zealand untuk rawatan segera.

"Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, dengan bantuan komuniti Malaysia di Christchurch, sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga bagi memastikan pengurusan kebajikan kesemua mangsa berjalan dengan lancar.

"Kementerian Luar Negeri dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia sedia membantu sekiranya pihak waris membuat keputusan untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia," kata Wisma Putra dalam kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, Wisma Putra merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh berhubung terus dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington di butiran berikut:

SURUHANJAYA TINGGI MALAYSIA DI WELLINGTON
Alamat : 10 Washington Avenue
Brooklyn PO Box 9422 Wellington
No. Telefon : +64-4-3852439 / +64-210440188 (kecemasan)
Emel : [email protected]